Kisah Benar : Bahaya Tidak Asingkan Tempat Tidur Anak – Walaupun anak-anak ini kelihatan begitu lena, namun kita tidak dapat menjamin bahawa mereka tidak akan tersedar sehingga ke pagi. Maka berwaspadalah sentiasa!
Pendidikan seks, apa yang anda fikirkan apabila disebut perkataan ini?
Ramai yang rasa ia adalah satu perkara yang lucah dan memalukan. Namun,
ketika saya ingin menulis tentang mengasingkan anak tidur dari ibu bapa,
saya menyelak buku Pendidikan Anak-Anak Islam tulisan Dr Nasih Ulwan.
Saya dapati, Dr Nasih Ulwan telah menerangkan tentang perkara terbut di
dalam satu bab yang panjang iaitu bab pendidikan seks.Setelah diteliti,
ternyata bahawa pendidikan seks di dalam keluarga islam sangat-sangat
dipentingkan untuk menjaga anak-anak dari terdedah kepada gejala sosial
yang amat membimbangkan sebagaimana yang berlaku di dalam masyarakat
pada masa kini.
Melihat kepada gejala sosial yang berlaku kini seperti penzinaan,
pembuangan anak, seks di luar tabii dan banyak lagi jenayah yang berlaku
di kalangan remaja Islam, saya merasakan bahawa pendidikan seks di
dalam Islam yang banyak berkisar kepada penjagaan aurat dan adab-adab
sesama ahli keluarga dan individu lain perlulah ditekankan oleh ibu bapa
sejak anak-anak masih kecil
Memetik sebuah ayat alquran dari surah An-Nur ayat 58
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita)
yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu,
meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) yaitu: sebelum
sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar) mu di tengah
hari dan sesudah sembahyang Isya. (Itulah) tiga ‘aurat bagi kamu. Tidak
ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu)
itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada
sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi
kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Daripada ayat di atas, Allah telah membimbing tentang asas pendidikan di
dalam rumah. Maka sejak kecil lagi, anak-anak mestilah dibiasakan untuk
meminta izin, pada masa-masa dimana seorang lelaki dan seorang
perempuan sedang duduk bersama-sama, supaya anak-anak kecil ini tidak
terserempak dengan sesuatu keadaan yang dia tidak sepatut melihatnya.
Adab ini mestilah diajar kepada anak-anak sebelum umur baligh mereka dan mereka mestilah mememinta izin dalam tiga keadaan iaitu
I. Di waktu sebelum sembahyang subuh kerana pada ketika itu manusia sedang tidur di atas tempat peraduan mereka
II. Di waktu tengah hari, kerana manusia mungkin sedang menanggalkan pakaiannya ketika itu, dan sedang duduk bersama-sama isterinya
III. Di waktu sesudah sembahyang isyak kerana waktu itu adalah waktu tidur dan waktu berehat
II. Di waktu tengah hari, kerana manusia mungkin sedang menanggalkan pakaiannya ketika itu, dan sedang duduk bersama-sama isterinya
III. Di waktu sesudah sembahyang isyak kerana waktu itu adalah waktu tidur dan waktu berehat
Sekiranya anak-anak sudah baligh dan cukup akal, maka wajiblah kepada
para ibu bapa dan pendidik untuk mengajar mereka meminta izin pada
ketiga-tiga waktu tersebut sesuai dengan firman Allah yang bermaksud
“Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka
meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin.
Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui
lagi Maha Bijaksana.”
Anak-anak kecil sebelum baligh lagi sudah diarahkan untuk meminta izin
untuk memasuki bilik tidur, jadi bagi ibu bapa, peraturan ini perlulah
dilaksanakan di dalam rumahtangga. Maka, pengasingan bilik tidur antara
anak-anak dan ibu bapa perlulah dibuat sejak anak-anak kecil. Jika masih
tidur sebilik, bagaimanakah kita dapat mengajar anak-anak tentang adab
meminta izin ini?Melalui pengamatan saya, setelah berkecimpung di dalam
arena pendidikan anak-anak selama hampir sepuluh tahun, saya dapati
ramai di kalangan ibu bapa yang melihat proses mengasingkan anak-anak
tidur dari bilik ibu bapa sebagai satu perkara yang remeh.
Saya mendapati ramai ibu bapa yang masih tidur sebilik dengan anak-anak
walaupun anak-anak telah menjangkau usia lima dan enam tahun, bahkan
saya juga pernah bertemu dengan anak yang masih tidur di bilik ibu bapa
walaupun sudah berumur tujuh atau lapan tahun.
Saya ingin menarik perhatian ibu bapa diluar sana tentang satu peristiwa yang saya lalui sendiri.
Pada suatu hari, seorang guru datang menemui saya.
“Kak syifa, ada seorang pelajar lelaki lima tahun dari kelas saya selalu
berkelakuan yang tidak sopan terhadap rakan-rakan perempuannya. Saya
dah cuba untuk menasihatinya, tetapi ia tidak memberi kesan. Dia tetap
melakukan perkara yang sama berulang kali, dan ia sangat membimbangkan
saya.” Cikgu Ida memulakan cerita dengan wajah penuh kebimbangan. Saya
mendengar dengan teliti.
“Kelakuan yang tidak sopan? Dia buat macammana?” Hati saya sudah
berdetap kencang, namun saya cuba mengawal perasaan agar kebimbangan
saya itu tidak menambah kerisauan yang bersarang di dalam diri Cikgu
Ida. Cikgu Ida merupakan seorang guru yang sangat prihatin, apa jua
masalah yang berlaku di tadika, pasti akan dibawa berbincang untuk
menyelesaikannya.
“Dia buat benda-benda yang tak senonoh la kak, saya nak cerita pun rasa
malu.” Cikgu Ida cuba berbahasa dengan saya, wajahnya tertunduk mungkin
tidak sanggup hendak menceritakan perihal anak muridnya itu.
“Dia buat macamana Ida? Akak tak boleh nak tangkap apa yang Ida cakap
ni. Demi kebaikan anak-anak di tadika kita ni, cuba Ida ceritakan apa
yang berlaku sebenarnya.” Saya memujuk Cikgu Ida untuk bercerita dengan
lebih jelas. Perkataan ‘tidak senonoh itu terlalu umum untuk saya
terjemahkan.
“Mmm… Mmm… Dia suka cium dan pegang-pegang budak perempuan la kak…
Pelajar-pelajar perempuan selalu mengadu dengan cikgu-cikgu, saya
bimbang jika perkara ini berlarutan ibu bapa akan membuat aduan, dan
saya bimbang jika pelajar perempuan yang diganggu itu tidak mahu lagi ke
sekolah.”
Saya mengangguk-angguk sambil menumpukan sepenuh perhatian kepada aduan beliau.
“Baru-baru ini, dia bermain dengan kawan-kawan di bawah meja, kemudian
tidak semena-mena dia mencium pipi seorang budak perempuan ni,
pelajar-pelajar lain yang melihat kejadian ini menjerit-jerit
memberitahu cikgu-cikgu manakala pelajar perempuan tadi sudah menangis,
mungkin terasa malu dan tidak selesa dengan kelakuan rakannya itu tadi.”
“Bila cikgu-cikgu bertanya kenapa dia buat begitu, dia hanya
terkulat-kulat memandang cikgu dan hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu
bercakap, cikgu –cikgu sudah menasihatinya dan berpesan kepada
pelajar-pelajar lain agar tidak melakukan perkara yang sama. Namun, ia
berulang lagi tengahhari tadi. Nampaknya kita perlu melakukan sesuatu
untuk membendung perkara sebegini.” Panjang lebar Cikgu Ida menjelaskan
kepada saya. Saya menelan air liur yang terasa pahit.
“Oh begiitu, ada apa-apa lagi kelakuan yang tidak menyenangkan?” Saya bertanya lagi
“Mmm… Dia juga selalu menyebut-nyebut perkatan “cium mulut”.. Ish akak,
saya nak sebut pun malu rasanya.” Merona warna kemerahan di wajah Cikgu
Ida, malu. Tersirap juga darah saya dibuatnya. Tidak menyangka anak
sekecil lima tahun sudah tahu perkataan-perkataan sebegitu. Saya
beristighfar berulang kali.
“Berat juga masalah ni, tapi Insya Allah masih boleh diubati dan
diselesaikan. Insya Allah, sama-sama kita hadapi masalah ini dengan
berhikmah dan bijaksana.” Saya menutup perbincangan dengan menawarkan
diri untuk menyelesaikan masalah ini secara serius.
Selepas perbincangan saya dengan Cikgu Ida hari itu, saya banyak
meluangkan masa untuk melihat sendiri apa yang dilakukan oleh pelajar
tersebut tanpa dia menyedari dia sedang diperhati.
Setelah beberapa waktu menyiasat perkara tersebut, terkejut saya apabila
saya bertanya : “Kamu tengok siapa buat macam ni? Kamu tengok di
televisyen?”
Anak kecil itu menggeleng lalu berkata: “Ibu dan ayah.” Terkedu saya sebentar lalu beristighfar panjang.
“Kamu tidur di bilik kamu atau di bilik ibu ayah kamu?” Saya bertanya lagi
“Bilik ibu ayah.” Pendek sahaja jawapannya
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, saya tiada cara lain selain
memanggil ibu bapa berkenaan untuk berbincang, dan ternyata ibu bapa itu
sendiri terkejut kerana mereka membayangkan bahawa anak-anak sudah
tidur sewaktu mereka ‘bersama’.
Kisah-kisah sebegini sebenarnya banyak saya dengar dari rakan taulan
pengusaha tadika yang lain. Bahkan satu kisah yang lebih teruk saya
dengar, seorang pelajar lelaki telah duduk di atas perut seorang pelajar
perempuan ketika pelajar itu tidur kerana melihat bapanya berbuat
begitu terhadap ibunya. Na’uzubillah.
Perkara sebeginilah yang perlu kita elakkan, jangan biar sudah berlaku
sedemikian, baru lah kita ingin mengambil tindakan. Pada saya, bukan
mudah untuk membaiki keadaan, kerana anak itu berkelakuan sedemikian
diatas faktor pernah melihatnya sendiri. Malah, ia dilakukan oleh orang
yang paling mereka percayai iaitu ibu bapa mereka sendiri! Bagi mereka
apa yang dibuat oleh ibu bapa bukanlah perkara yang salah.
Yang lebih membimbangkan, anak kita bukanlah seperti komputer yang boleh
kita hapuskan sahaja maklumat yang tidak kita ingini lagi dengan
menekan butang ‘delete’. Sekali ia tersimpan di dalam memori mereka,
apakah caranya untuk memadamkannya?
Oleh itu wahai ibu bapa yang budiman, asingkanlah anak-anak dari bilik
tidur kalian seawal mungkin, iaitu apabila anak sudah pandai meniru
kata-kata dan tingkah laku kita. Walaupun ia proses yang agak sukar,
namun kita mestilah serius untuk menjayakannya.
Jangan biarkan nasi menjadi bubur, kerana kita tidak tahu mungkin anak
kita tersedar dari tidur dan terlihat perkara yang tidak sepatutnya.
Berjaga-jagalah dari awal lagi.
Oleh itu, bagi kita umat Islam yang meyakini bahawa Al-Quran adalah
manual kehidupan yang paling lengkap dan terbaik, kita perlulah meyakini
bahawa Islam amat mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak dari
sejak mereka mula mengenal sifat malu, dan akhlak pergaulan yang baik
serta budiperketi Islam yang mulia.
Sehingga, apabila anak mencapai usia remaja, dia akan menjadi satu contoh teladan yang mulia dalam kelakuan dan akhlaknya.
Betapa kerap berlaku sesuatu yang memalukan, apabila si anak masuk ke
dalam bilik tidur, dan terserempak melihat kedua ibu bapanya sedang
asyik dalam perhubungan seks. Kemudian si anak itu keluar dari situ
seraya bercerita sesama teman-temannya yang kecil. Dan berapa banyak
pula yang mengkhayalkan lakonan itu di dalam lintasan fikirannya ketika
gambaran itu berulang di dalam otaknya
Dan betapa banyak pula anak yang menyeleweng disebabkan dari kecil telah
merasa keinginan kepada seks dan telah melihat bagaimana caranya
berhubungan seks serta merasa kelazatannya.
Lantaran itu, maka wajiblah atas ibu bapa dan para pendidik teguh dengan
adab Al-Quran Al-Karim dalam hal mengajar anak meminta izin sejak dia
mula berakal. Mudah-mudahan anak-anak akan mempunyai akhlak yang mulia,
mempunyai peribadi Islam yang berbeza dengan yang lain serta menjadi
penyejuk mata kita di dunia dan akhirat.