Saya pernah
berzina satu masa dahulu kini telah bertaubat dan akan berkahwin
perlukah saya beritahu saya telah berzina satu masa dahulu kepada suami
saya? Sekiranya dia bertanya wajibkah saya beritahu perkara tersebut?
Adakah dosa-dosa saya terhapus yang membuat amalan fardu sahaja atau
saya perlu menunaikan ibadat haji?
Berikut petikan jawapan daripada Ustaz Ahmad Jailani
Suatu ketika seorang isteri memberitahu kepada saya bahawa beliau telah
berzina. Sekarang telah pun bertaubat di atas dosa yang telah beliau
lakukan itu. Malangnya timbul pula masalah lain. Beliau berhasrat untuk
berterus terang dengan suaminya tentang dosanya itu.
Dilemanya
ialah beliau bimbang jika suaminya mengetahui berkenaan maksiat
lampaunya itu, kelak suaminya akan menceraikannya. Sedangkan rumahtangga
mereka aman damai, tiada perbalahan. Ada anak yang comel. Beliau juga
tidak sanggup diceraikan.
Namun,
hati kecilnya sering rasa bersalah bila memandang wajah suaminya.
Soalan yang beliau utarakan kepada saya ialah adakah wajar beliau
menyembunyikan dosanya itu atau lebih baik beliau berlaku jujur dengan
suaminya dengan memberitahu apa yang telah berlaku dan seterusnya
memohon maaf daripada suaminya.
Sebenarnya
amat sukar untuk saya memberikan jawapan walaupun saya sudah ada
jawapan yang telah tersedia dan telah pun diberikan kepada orang lain
sama ada yang menemui saya secara bersemuka, melalui telefon atau saya
menyampaikannya melalui kuliah atau ceramah. Ini kerana saya bimbang ia
boleh disalah-ertikan.
Jawapan
saya kepada beliau ialah JANGAN MENGAKU BERZINA! Kenapa? Pertamanya;
Untuk menutup dosa dan aib kita. Kedua; Untuk menggalakkan kita supaya
sentiasa mencari Allah SWT dan bertaubat kepadanya dan ketiga; untuk
mengelak berlakunya kemudaratan kepada orang yang bertaubat atau ingin
bertaubat iaitu kehancuran rumahtangga.
Apabila
Ma’iz Al-Aslami (sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam
sahihnya) berjumpa dengan Nabi SAW dan membuat pengakuan zina dengan
berkata ” Ya Rasulullah, Inni zanaitu” (sesungguhnya aku telah berzina),
baginda berpaling daripada Ma’iz, walaupun Ma’iz mengaku berkali-kali.
Sehingga sebahagian fuqaha menjadikan hadith ini sebagai dalil bahawa
tidak digalakkan mengaku berzina!
Sheikh
Dr. Ali Jum’ah (Mufti Mesir) apabila ditanya fatwa beliau tentang hukum
memperbaiki hymen (selaput dara) atau struktur yang berkaitan dengannya
bagi gadis-gadis yang pernah terlibat dengan dosa dan noda pada suatu
ketika tetapi kemudiannya telah meninggalkan kefasiqan tersebut dan
bertaubat, maka beliau menjawab agar ditutup keaiban itu (boleh
memperbaiki ‘dara’) kerana menutup keburukan orang mukmin adalah suatu
perkara yang terpuji dalam agama. Bukankah terdapat dalil syarak yang
menunjukkan bahawa sesiapa yang menutup aib saudaranya di dunia, maka
Allah SWT akan menutup aibnya di akhirat kelak! Ini terpakai kepada
gadis tersebut sama ada kejadian hitam itu dengan kerelaannya atau
paksa.
Imam
Nawawi, ulama’ terkenal dalam mazhab Imam Shafie, telah menulis dalam
kitab “Raudhah”, dengan katanya, “Sesiapa yang telah terlibat dengan
perkara buruk dan dosa, maka disunatkan kepadanya untuk menutup
kesalahannya itu.
Berbeza
dengan amalan dan sikap masyarakat kita hari ini yang secara tidak
langsung (mungkin tak sengaja) berbangga-bangga dengan menceritakan
“maksiat” lampaunya. Contohnya, terdapat kenalan saya, yang pernah
bercerita bahawa beliau masa muda-muda dulu pernah beberapa kali ke
Hatyai, Thailand kerana mencari pelacur! Astaghfirullah, Ya Akhi,
bertaubatlah.
Agama
kita yang murni ini sebenarnya banyak mengajar kita supaya sentiasa
bertaubat dan memperbaharui taubat kepada Allah SWT. Antaranya Firman
Allah dalam Surah Al-Tahrim, ayat 8:-
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا
عَسَى رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ
جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ
النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ
أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا
نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya, “Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat
Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan
kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan
orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal
soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan
mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang
munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami!
Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada
kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”
Dengan
menutup aib tersebut, harapannya ialah akan menggalakkan manusia
bertaubat kepada Allah. Ia juga untuk mengelak daripada berlaku mudarat
kepada orang yang bertaubat. Sebagaimana riwayat Imam Malik dalam
Al-Muwatta’nya – La darara wa la dirar – Tiada mudarat dan tidak
memudaratkan.
Mungkin
ada di kalangan kita yang akan berkata, bukankah ini akan menganiaya
lelaki yang menjadi suami atau bakal suami kepada gadis atau isteri
tersebut. Jawapan saya ialah masyarakat kita hari ini hanya sibuk dengan
kesucian gadis atau isteri sehingga pernah berlaku dalam masyarakat
kita suatu adat atau amalan meletakkan kain cadar putih untuk
memastikan pengantin perempuan masih dara! Anehnya, masyarakat kita tak
pernah sibuk tentang “teruna”nya pihak lelaki.
Mereka
sibuk tentang tak relanya kelapa ditebuk tupai tetapi mereka tak pernah
sibuk tentang tupai yang sering menebuk kelapa! Alangkah tidak adilnya
masyarakat hari ini. Malah ada yang sanggup berkata, bila diajukan
tentang lelaki yang sudah tiada “teruna”, mereka jawab, “Alaa.. budak
lelaki biasalaa.. yang perempuan tu gatal menggoda dia tu, siapa suruh”.
Malah pernah berlaku dalam kes rogol, si bapa kepada remaja lelaki
tersebut, bukannya menyalahkan anaknya yang merogol tetapi menyalahkan
si mangsa (gadis) kerana gatal dan miang.